Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Islam dan Budaya Alam Melayu

Posted by epondok di Oktober 15, 2009


Oleh: Dato’ Haji A. Aziz Deraman
Kuala Lumpur

Mukadimah

Islam dan peradaban Melayu tidak boleh dipisahkan. Kedatangan Islam telah mengubah dan merobah kehidupan keagamaan yang sebelum itu berabad-abad lamanya dipengaruhi oleh kepercayaan Hindu-Buddha. Dalam tempoh hampir 15 abad dari awal Masihi sehingga permulaan abad ke-15, turun naiknya Kerajaan-Kerajaan Melayu boleh ditelusuri dari Zaman Funan, Langkasuka, Sriwijaya, Majapahit dan kerajaan-kerajaan wilayah seperti di Kediri, Singosari, Kutai Kartanegara.

Sungguh pun disebut hubungan Tanah Melayu dengan dunia Arab sudah terjadi sejak abad ke-9 Masihi mungkin kerana dagang, tetapi kesan terbesar terjadi hanya sesudah terbentuknya Kerajaan Melayu Melaka dengan kekuatan sistem pemerintahan dalam bidang siasah, ekonomi, sosial dan kebudayaan, serentak dengan peranannya dalam penyebaran Islam ke seluruh Alam Melayu.

Kemunculan kerajaan-kerajaan Melayu Kesultanan Brunei, Sulu, Banjar, Makassar, Pontianak, Sambas, Mindanao dan keluasan pengaruh kuasa Empayar Melayu Melaka itu melebar dari seluruh Tanah Melayu sehingga ke Pattani di selatan Thai, menguasai sebahagian besar timur Sumatera [kota-kota pelabuhan seperti Siak, Kampar, Inderagiri dan sebagainya], menjadikannya sebuah pemerintahan yang disegani timur dan barat.

Tegaknya Kesultanan Melayu-Islam di Acheh (Perlak), Medang Bhumi (Kelantan), Champa, Terengganu, Jawa dan kemudiannya pengaruh Melaka dalam konteks hubungan serantau dan dengan Dinasti China, India, Rom dan Eropah – kekuatannya yang dibentuk oleh Islam itu – menandakan telah wujud pengembangan Warisan Nabawi yang luar biasa dalam konteks keserumpunan dan keserantauan yang tersendiri.

Kedatangan Islam

Setelah kedatangan Islam, kehidupan baru manusia Alam Melayu atau Nusantara dalam keserumpunan itu bertukar daripada kepercayaan tahyul kepada suatu keyakinan yang berpaksikan aqidah yang didasari intelektualisme dan rasionalisme. Islam telah membawa kesan yang meluas dan mendalam terhadap kehidupan sosio-budaya massa dan membentuk corak kerajaan-kerajaan Melayu di Dunia Melayu dengan memperkenalkan pelbagai sistem, serta memperkenal dan meninggalkan tradisi keilmuan.

Islam dalam kebudayaan Melayu dikatakan denyut nadi dan degup jantung kepada kesinambungan sejarah rantau, kemajuan bahasa, persuratan dan budaya dalam suatu bahagian tamadun manusia di bahagian timur dunia sejak berabad-abad yang lalu.

Yang paling penting lagi Alam Melayu seolah-olah menjadi penyambut kepada kejatuhan Islam di Andalusia yang mencapai kegemilangannya pada abad 7 hingga 14 Masihi dan Empayar Melaka muncul sewaktu Barat memulakan penerokaan dunia baru dan bertarung dalam Perang Salib. Barat telah menggerakkan Zaman Pembaharuan (Renaissance) yang bertujuan mengubah dan menukar segala kemajuan ilmu dan pengetahuan termasuk sains Islam mengikut kehendak dan kaca mata mereka.

Mungkin Alam Melayu tidak menerima keseluruhan isi peradaban Zaman Andalusia, tetapi hakikat penerimaan aqidah Islamiyyah dan tradisi keilmuan sudah cukup bagi mewarnai corak keperibadian baru dan pedoman hala tuju sebuah peradaban di timur.

Kesan kedatangan Islam terhadap kehidupan sosial dan kebudayaan Melayu dan sistem berkerajaan merupakan suatu proses pembudayaan yang boleh dikaji dari pelbagai sudut seperti pendidikan dan pengembangan ilmu, bahasa dan persuratan, kebudayaan dan kesenian, gerakan kesedaran politik dan pentadbiran, pembaharuan pemikiran, ketatanegaraan, soal hukum hakam, sejarah wilayah, sistem sosial, aspek nilai dan sebagainya.

Paksi kehidupan umat Melayu dan sejarah kebudayaannya menuju ke suatu sinar zaman baharu yang mendukung ciri-ciri rasionalisme, intelektualisme, keadilan dan menempatkan kemuliaan serta keperibadian insan pada tempatnya yang layak dan wajar. Suatu macam transformasi sosial dan transformasi budaya yang mengagumkan telah terjadi.

Dilihat secara menyeluruh, sejak zaman-berzaman umat Melayu mungkin dapat digolongkan sebagai umat yang taat beragama. Setidak-tidaknya penghayatan syiar-syiar agama masih bersemarak. Setiap tahun jemaah haji dari rantau ini terutamanya dari Malaysia dan Indonesia adalah antara yang terbesar jumlahnya. Sebahagian besar umat Melayu masih menghormati hukum-hakam agama. Yang paling jelas orang Melayu atau umat serumpunnya – betapa pun lemah penghayatan Islam mereka – masih menghormati ajaran-ajaran Islam tertentu seperti larangan makan babi dan binatang-binatang lain yang diharamkan, termasuk juga binatang-binatang halal yang tidak disembelih secara Islam.

Selain itu, fenomena bertukar agama atau keluar dari Islam boleh dikatakan jarang sekali terjadi. Lebih-lebih lagi di Malaysia, di mana Melayu telah begitu menyatu dengan Islam sehingga kejadian Melayu keluar dari Islam pasti menimbulkan kegemparan besar.

Islam: Kesannya Terhadap Sosio-Budaya dan Pemerintahan

Dalam konteks kesan kedatangan Islam terhadap perubahan sosio budaya ini, saya ingin menyentuh beberapa aspek penting yang berhubung dengan:

  • (a) Pendidikan dan pengembangan ilmu;
  • (b) Bahasa dan persuratan;
  • (c) Kebudayaan dan kesenian;
  • (d) Politik dan pentadbiran;
  • (e) Isu dan cabaran semasa kehidupan sosial umat.

(a) Pendidikan Dan Pengembangan Ilmu

Pendidikan dan pengembangan ilmu adalah warisan Nabawi yang sangat utama. Firman Allah yang pertama disampaikan melalui Jibril kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w. adalah kewajipan terhadap pencarian ilmu dengan perintah:

“Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu Yang menciptakan. Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah, dan Tuhanmulah Yang Maha Pemurah. Yang Mengajar (manusia) dengan perantaraan kalam. Dia mengajarkan kepada manusia apa yang tidak diketahuinya”. Al ‘Alaq (Segumpal Darah) 96:1-5.

Perkembangan ilmu telah membawa kesan yang cukup besar terhadap perubahan sosio-budaya umat Melayu sesudah kedatangan Islam. Sistem awal yang diperkenalkan, mungkin pada mulanya dengan menadah kitab di surau, langgar dan masjid atau di kalangan istana, sehingga kemudiannya terdirinya pondok dan pesantren di serata wilayah dan daerah kepulauan Melayu. Ilmu adalah alat pertama bagi kesempurnaan keperibadian seseorang insan dan pembentukan akhlak.

Proses pembudayaan rantau Melayu banyak sekali dimainkan peranannya oleh para ulama yang bermula dari pusat-pusat pemerintahan Islam-Melayu seperti Melaka seawal abad ke-15, Jawa, Pasai, Acheh, Palembang dan Banjar, dan kemudiannya Kelantan–Patani, Banten dan Minangkabau.

Dari pusat-pusat inilah terpancar keluarnya pengaruh kebudayaan Islam di Alam Melayu dari Semenanjung sehingga ke kepulauan Indonesia, bukan sahaja melalui pengajian pondok atau kegiatan dakwah seperti yang dinyatakan, tetapi juga lewat pengaruh perdagangan dan perluasan wilayah geopolitik baharu seperti Aceh-Pasai dan Johor-Riau itu. Sehingga suku pertama abad ke-20, gerakan ulama mengembangkan ilmu menerusi pendidikan agama tidak pernah surut.

Sumbangan seperti ini, ditambah oleh hubungan dengan pusat-pusat kebudayaan Islam di al-Haramain atau Tanah Arab, Mesir dan Turki, juga India dan Pakistan, telah memberikan ciri-ciri khusus terhadap sebuah tamadun Islam di Asia Tenggara yang dikenali sebagai peradaban Melayu-Islam sebagaimana kita kenali adanya peradaban Arab-Islam, Parsi-Islam, India-Islam dan Turki-Islam. Peradaban Melayu-Islam berada dan berkembang di wilayah Alam Melayu.

Di pelbagai wilayah Alam Melayu luas, selain dari pusat-pusat kebudayaan Islam di atas tadi, terdapat cukup ramai para ulama yang berjasa besar dan terserlah sumbangan mereka dalam pembangunan tamadun Melayu. Nama-nama ulama besar itu termasuklah ulama-ulama dari Kelantan-Pattani, Terengganu, Pontianak, Sambas, Sumbawa, Makasar, Minangkabau, Kedah, Lingga dan sebagainya, bahkan tidak terkecuali, pada abad ke-19, Banten dengan tokoh besarnya – Syeikh Nawawie al-Bantaniy.

Penerimaan terhadap ajaran Islam dan kebudayaannya menyebabkan kebudayaan Melayu disejajarkan dengan Islam. Maka Islam itu tidak sukar diterima oleh sebahagian besar umat serumpun Melayu itu.

Kalau diteliti lanjut, ulama-ulama tadi cukup aktif menghasilkan karya tulis dalam pelbagai bidang ilmu pengetahuan agama. Dengan kedatangan Islam dan tersebar ajarannya di Nusantara atau Alam Melayu, maka telah tumbuh dan berkembang ilmu-ilmu yang menentukan ciri-ciri kebudayaan Melayu besar serantau itu. Antaranya, yang paling awal, tentu sahaja ilmu-ilmu yang membahaskan tentang ketuhanan dan tasawwur (world view) Islam, iaitu ilmu yang menghuraikan dasar-dasar aqidah Islam.

Dalam bidang karya tulis, kita lihat tradisi yang sangat penting ini yang boleh disebut pada abad ke 16 dan 17, dengan tokoh-tokoh di Acheh seperti Hamzah Fansuri, Syeikh Abdul Rauf Singkel, Syeikh Nuruddin al-Raniri dan Shamsuddin al-Sumatrani, berlanjut di Banjar dengan tokoh-tokoh seperti Syeikh Muhammad Arshad al-Banjari dan Muhammad Nafis al-Banjari. Kemudian Terengganu dengan Syeikh Abdul Malik atau Tok Pulau Manis, penulis kitab Syarh Hikam yang terkenal itu, Palembang dengan Syeikh Abdul Samad al-Palembani, dan kemudian Patani dan Kelantan dengan tokoh-tokohnya dikenal seperti Syeikh Abdul Rahman Pauh Bok, Syeikh Daud bin Abdullah al-Fatani, Syeikh Haji Wan Ahmad bin Wan Muhammad Zain al-Fatani, Tuan Minal, Tuk Wan Ali Kutan, Haji Mohd Yusoff Ahmad al-Kenali (Tuk Kenali), Tuan Tabal dan lain-lain, lebih awal lagi di Jawa dengan Wali Songo dan ulama-ulama besar Minangkabau yang bergerak secara langsung dalam gerakan bahasa, persuratan, kesenian dan kebudayan selain dari keagamaan.

Hasil karya para ulama Melayu itu, antara lain, menghuraikan dasar-dasar pandangan hidup Islam dengan menerangkan hakikat ketuhanan dan hubungannya dengan kenyataan-kenyataan yang perlu diketahui dan direalisasi dalam kehidupan seorang Muslim, sehingga dengan demikian, dasar-dasar pandangan hidup Muslim menjadi lebih jelas dan tidak hanya sekadar menjadi suatu rukun daripada rukun-rukun iman yang dihafal dalam kepala sahaja.

Beberapa peribadi Islam yang dikenal masyhur dalam menghuraikan ilmu ini seperti al-Ash’ari, al-Maturidi dan al-Ghazaliy, antara lainnya, mempunyai penerjemah-penerjemah dan penghurai-penghurainya di Nusantara.

Selepas ilmu tentang ketuhanan dan world view, maka ilmu yang paling dekat selepasnya ialah ilmu-ilmu tentang ibadat dan hukum-hakam atau fiqh, iaitu ilmu yang mengatur cara berhubung antara manusia sesama manusia dan manusia dengan Tuhannya. Hubungan antara manusia dengan manusia itu telah membentuk kebudayaan dan tata kehidupan sehingga proses penciptaan mereka tetap berpaut kepada aqidah dan tauhid.

Manusia membentuk kebudayaan dan tamadun mereka tetapi terasnya adalah agama yang datangnya dari Allah s.w.t., Tuhan Yang Maha Esa. Kemudian, terhurai juga ilmu-ilmu yang menyangkut bidang etika dalam kerangka syariat yang syumul dan meliputi. Dalam bidang ini sifat-sifat utama yang merupakan nilai-nilai baik atau al-Mahmudah dan sifat-sifat tercela keji yang menjadi lawannya atau al-Mazmumah, dihurai dengan jelas dengan cara menghubungkannya dengan kehidupan sosial dan kehidupan seseorang.

Malah, tidak jarang perbahasan tentang ilmu ini dikaitkan dengan soal-soal metafizika dan ketuhanan. Antara nama-nama yang sangat terkemuka dalam bidang ini ialah Syeikh Abdul Samad al-Palembani dengan karya besarnya Siyar al-Salikin dan Syeikh Muhammad Nafis al-Banjari dengan karya kontroversinya – al-Durr al-Nafis. Dengan berdasar kepada pemahaman doktrin dalam bidang ini serta pelaksanaannya dalam kehidupan perseorangan dan jamaah, maka terbentuklah suatu sistem nilai dan etika Islam di Nusantara, yang kemudiannya menjadi wadah dan acuan kepada sistem moral dan akhlak yang sekarang kita anuti sebagai nilai-nilai bersama.

Dari segi budaya intelektual, Dunia Melayu mempunyai sejarah dan tradisi intelektualismenya sendiri. Kedatangan Islam ke rantau ini telah memulakan tamadun keilmuan dan melibatkan para ilmuwan Melayu dalam perkembangan intelektualisme Dunia Islam. Memang rantau ini belum pernah melahirkan seorang ash-Shafiy atau al-Ghazaliy, tetapi setidak-tidaknya rantau ini memang sentiasa terdedah kepada pemikiran para ilmuwan besar Dunia Islam.

Khazanah intelektualisme Melayu tidak cuma mengandungi sastera lipur lara, tetapi meliputi juga terjemahan dan saduran karya-karya besar al-Baydawiy, al-Mawardiy, al-Ghazaliy dan lain-lain di samping karya-karya asli ulama Melayu. Tradisi pengajian pondok (pesantren) yang dianggap oleh setengah kalangan peneliti sebagai bersifat indigenous itu telah memainkan peranan besar sebagai jambatan budaya yang menghubungkan tradisi keilmuan rantau ini dengan tradisi keilmuan Dunia Islam terutama yang berpusat di Asia Barat.

Para ilmuwan Melayu tidak hanya menterjemah dan menyadur karya-karya dari luar, tetapi ada juga yang menghasilkan karya-karya asli termasuk karya-karya dalam bahasa Arab. Ash-Syeikh Nawawiy al-Bantaniy (Banten) misalnya telah menghasilkan beberapa buah kitab dalam bahasa Arab yang menjadi rujukan para ulama Hijaz.

Sejarah intelektualisme rantau ini juga mencatatkan adanya polemik-polemik intelektual yang menyegarkan budaya berfikir. Pada zaman tamadun Aceh telah terjadi polemik di sekitar faham wujudiyyah dan pada zaman kebelakangan ini lebih banyak lagi polemik-polemik tentang pelbagai isu termasuklah polemik Islam dan adat tentang pembahagian harta pusaka dalam sistem adat perpatih, polemik politik tentang Islam dan kenegaraan (antara Soekarno dengan Natsir) polemik Kaum Tua-Kaum Muda (tentang pembaharuan Islam), polemik di sekitar faham sekular, reaktualisasi Islam dan sebagainya.

Perkembangan-perkembangan mutakhir dalam bidang pendidikan di rantau ini telah membuka kemungkinan-kemungkinan baru. Penubuhan Universiti Islam Antarabangsa dan ISTAC (Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa) di Malaysia umpamanya telah menjadikan rantau ini sebagai salah satu pusat tumpuan para ilmuwan dunia. Sekarang ini pun kita sudah menyaksikan semakin ramainya para pelajar dari pelbagai rantau dunia termasuk Dunia Arab yang datang untuk belajar di kampus-kampus kita.

Dari segi tradisi kerohanian pula, memang sejarah pengislaman rantau ini berkait erat dengan peranan kaum sufi. Kerana itu hingga sekarang rantau Melayu adalah termasuk daerah yang paling subur dengan tradisi kesufian. Ilmu Tasawwuf adalah merupakan antara jenis ilmu yang popular dalam masyarakat Melayu. Karya-karya al-Ghazaliy khususnya kitab ihya’ Ulumi ‘d-Din telah sejak lama diterjemah dan tersebar luas. Tradisi kerohanian masyarakat Melayu pernah membuktikan peranan positifnya sebagai salah satu kekuatan umat.

Sejarah zaman penjajahan di Indonesia mencatatkan bahawa antara kekuatan yang paling ditakuti oleh Belanda ialah kumpulan-kumpulan tarekat pimpinan ulama-ulama rohaniah yang sangat berkarisma.

(b) Bahasa dan persuratan
Bahagian ini tercicir

(c) Kebudayaan dan kesenian
Bahagian ini tercicir

(d) Politik dan pentadbiran
Bahagian ini tercicir

(e) Isu dan cabaran semasa kehidupan sosial umat.

Peredaran sejarah seperti telah membawa kembali unsur-unsur imperialisme budaya baru dalam konteks sezaman. Kebudayaan asing terutama budaya hedonisme Amerika dan Barat diterima tanpa ukuran moral atau akhlak dalam perspektif budaya dan agama sendiri lagi.

Maraknya gejala sosial dan budaya hedonisme di kalangan generasi muda terutama di kalangan anak-anak remaja dan penyakit rakus serta gila kuasa di kalangan orang dewasa dan para pemimpin, adalah bukti jelas daripada tindak tanduk penyimpangan daripada pola yang diterima turun temurun ini, suatu akibat daripada kecuaian dan kelalaian yang membawa kepada terhakisnya pendidikan agama dan nilai budaya.

Cabaran pada abad ke 21, mahu tidak mahu umat serumpun Melayu sama ada yang beragama Islam atau beragama lain akan menghadapi suatu zaman kemajuan yang luar biasa khususnya pengaruh teknologi moden. Pencapaian manusia dalam ilmu sains ini menjadikan kita berhadapan dengan kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi, sehingga sesuatu yang tidak dapat kita bayangkan. Manusia kadangkala terjebak oleh akal dengan pengaruh pemikiran dan falsafah atau berasaskan kepercayaan ciptaan manusia sendiri.

Manusia mula menunjukkan tanda-tanda penolakan terhadap agama wahyu. Pengaruh globalisasi, pascamodenisme dan liberalisasi menuntut gerakan agama dan para ulamanya perlu bersama melibatkan diri menghuraikan kekusutan konflik peradaban corak baharu yang mengasak kesejahteraan dan kebahagian manusia. Ada suatu macam penolakan tentang the grand narrative yang ditanzilkan dari langit itu.

Namun begitu dengan kepakaran dan pencapaian manusia sehebat itu pun, manusia belum dapat atau tidak berjaya sepenuhnya memberikan ketenangan kepada manusia sendiri. Mereka mengadu takut, luntur kebahagiaan, resah gelisah, berduka cita dan sakit jiwa. Di Eropah dan Amerika atau di kalangan penganut agama falsafah ciptaan manusia itu, ada penyakit rohani yang sukar diubati lagi. Mereka sendiri oleh kurangnya penghayatan dan gagalnya menghayati panduan sebenar terus tidak berdaya mengubatinya hatta dengan menggunakan unsur-unsur kemajuan dan kecanggihan teknologi baru yang dicipta itu.

Kini kerana pengaruh asing yang tidak terkawal dan salah tafsiran dalam kesepaduan ilmu antara tuntutan duniawi dan ukhrawi, maka perlumbaan memperoleh ilmu dibataskan kepada kemakmuran duniawi semata-mata. Matlamat keilmuan demi keimanan, ketakwaan, keikhlasan, warak dan tawadhuk dengan keunggulan akhlak mulia hilang daripada sahsiah para ilmuwan sendiri.

Krisis aqidah dan lunturnya teladan Islam daripada para ilmuwan tadi mengakibatkan timbulnya aneka masalah keruntuhan akhlak umat Islam zaman moden ini. Jalan penyelesaian gagal dicari dan umat kekal terbelenggu dalam kemelut yang tidak menentu. Tujuan keseimbangan kehidupan antara duniawi dan ukhrawi, urusan agama dan dunia, pemerintah dan rakyat, manusia dan alam tabii, umat dan negara, hak dan kekuatan, benda dan roh, wahyu Ilahi dan kreativiti terlihat kehilangan konsep ‘al-hikmah’ dan ‘al-mizan’. Manusia dibelenggui belitan syaitan dengan kegilaan kepada kekayaan harta benda dan ketinggian darjat serta terpinggirnya upaya memperjuangkan ‘ketinggian kalimatullah’ dalam pendidikan manusia.

Di kalangan umat Islam global juga mula dibimbangi bahawa pengaruh-pengaruh sedemikian akan mula menyelinap masuk mempengaruhi kehidupan kebudayaan sejahtera yang mereka miliki. Ancaman pengaruh itu tersebar melalui media elektronik seperti televisyen, radio, CD Rom dan internet atau banyak juga melalui filem Hollywood dan Bollywood.

Negara-negara Islam dijebak oleh agenda perangkap persaingan agama atau perancangan strategik global yang dipasang oleh Yahudi dan Nasrani. Sesuatu perlu dilakukan bertujuan membetulkan kembali konflik budaya dan isu akidah umat masa kini.

Umpamanya sudah ada tendensi di kalangan belia Islam bukan sahaja di rantau Melayu bahkan di seluruh dunia Islam mengambil bahagian dan merayakan Hari Memperingati Kekasih (Valentine’s Day) pada 14 Februari setiap tahun, sesuatu yang mirip dengan agama asal perayaan itu, Kristian. Perayaan zaman pertengahan di Perancis dan England itu mengaitkan tarikh memperingati peristiwa Saint Valentine, seorang paderi yang dihukum bunuh oleh pemerintah Rom, Claudius II, kerana mengahwinkan seorang askar secara rahsia yang ditegah oleh undang-undang Rom ketika itu, sebagai hari mencari pasangan atau jodoh, anggapan ‘hari burung-burung mencari pasangan’.

Hal ini ternyata bercanggah dengan lunas-lunas Islam kerana Islam menganjurkan kasih sayang sepanjang masa dengan keutamaan kepada ibu bapa, suami isteri, keluarga, saudara Muslim dan sesama manusia.

Musuh-musuh Islam di mana-mana telah memulakan agenda dan menggunakan segala macam alasan bagi mensahihkan sesuatu tindakan termasuk pencerobohan, penaklukan dan peperangan. Peperangan dan pencerobohan di Afghanistan dan Iraq atau isu-isu kemanusiaan di Kosova, Bosnia-Herzevogina dan Chechen sukar sekali untuk dirasionalisasikan kebenaran dan keadilan tindakan oleh sesuatu adikuasa asing yang terlibat.

Dunia amat memerlukan suatu risalah yang boleh mengubah keadaan ini. Kelihatan benar bahawa tiada risalah lain lagi kecuali Islam. Risalah ini dimiliki oleh umat Islam. Suatu risalah yang membawa kepada kebahagiaan di akhirat dan tidak menegah kehidupan dengan segala kesejahteraannya di dunia dengan pola hubungan manusia dengan Tuhan (hablunminallah) dan hubungan yang saling membantu sesama manusia (hablunminannas).

Di tangan umat Islam adalah Al-Quran, sebuah kitab yang satu-satunya dipelihara Allah sesudah Taurat, Zabur dan Injil itu terbatal, sesuai dengan Islam itu sebagai agama samawi dan kitabnya ditanzilkan. Isu keganasan yang dicanangkan seawal abad ke 21 dengan mencorengkan arang fitnah ke muka Islam sengaja diada-adakan yang perlu diberikan penjelasan secara ilmu dan hakikat kebenaran.

Kitab itu menjadi bahtera kebahagiaan untuk umat Islam dan umat manusia sejagat. Umat Islam pula sebagai suatu umat pilihan tidak harus terperangkap oleh kelemahan diri, terpesong oleh arah pandu musuh dan semata-mata mempersoalkan perkara remeh temeh secara berlarutan tanpa mengambil kira masalah-masalah kehidupan dengan tidak meletakkan fiqh mengikut keutamaan (fiqh al-awlawiyat) dengan segala tindakan berpandukan kepada al-Quran dan al-Hadith.

Hakikat umat Islam itu sebagai umat yang satu perlu sentiasa kekal disemadikan di lubuk hati. Kekuatan rohani dan risalah Islamiah yang dimiliki umat Islam adalah anugerah yang teristimewa berbanding dengan mana-mana umat sebelumnya. Umat Melayu Islam seharusnya berada sama di barisan hadapan membawa risalah perjuangan (jihad) sejagat dengan mendukung kehidupan berpakat, bermuafakat, bermesyuarah atau mengamalkan tradisi budaya Melayu yang menekankan kerjasama dan gotong-royong itu dalam membangunkan umat sesuai dengan tuntutan Islam.

Umat Islam bukan lahir untuk hidup bersendirian dan meletakkan kepentingan diri sebagai agenda utama, tetapi bertindak membawa kebahagiaan dan kesejahteraan sejagat. Risalahnya menuntut perseimbangan antara keperluan jasmaniah dengan rohaniah, menghimpunkan antara iman, ilmu dan amal, mengimbangi dunia dan akhirat dan menyemarakkan kepentingan individu dengan kepentingan umum.

Sesungguhnya kita ingin melihat suatu kesegaran baru kebangkitan semula umat Islam di Dunia Melayu melalui dorongan keikhlasan para ulama di serata wilayah dan kota-kota penting dalam gerakan intelektualisme bangsa, ikut terlibat membangunkan kebudayaan tinggi dan mengisi segala sumber kekuatan peradaban Melayu. Umat perlu sedar dan insaf serta kembali kepada kesedaran aqidah yang lebih mendasari berlandaskan ajaran Islam yang sebenar. Krisis umat Islam hari ini adalah krisis aqidah sehingga tidak tahu lagi membezakan halal haram atau buruk baik.

Tradisi ilmu semakin menyempit dan gejala hiburan melampaui batas agama dan fitrah kemanusiaan sedang berleluasa. Lambat laun Dunia Melayu akan berwajahkan barat dan mengamalkan kebiasaan-kebiasaan budaya Barat. Saluran media elektronik rantau Melayu, terutama televisyen memaparkan segala keburukan Barat sebagai kebaikan untuk timur. Sesuatu tindakan mesti dilakukan segera agar umat Islam serantau tidak terjebak lebih meluas dan mendalam.

Kemajuan ekonomi dan kesejahteraan sosial bangsa, baik di Malaysia mahu pun di Indonesia, Brunei, Thailand dan Filipina tidak boleh dibiarkan tanpa perimbangan atau selitan keagamaan dan nilai budaya. Sistem politik sebagai teras kepemimpinan yang menentukan dasar-dasar sesebuah negara tadi tidak terlepas bebas dari keperluan kepada panduan Islam.

Penutup

Sesungguhnya citra Islam adalah citra ilmu, citra dakwah dan jihad, juga citra hidup bersih dan benar. Semoga kita pada hari ini mampu sedikit sebanyak memulihkan citra ini, atau setidak-tidaknya menyingkap kembali citra yang pernah dimainkan para ulama terdahulu dalam usahanya membimbing umat ke jalan hidup yang benar, disamping sekaligus membentuk budaya hidup dan pola berfikir masyarakatnya.

Kita ingin melihat satu suasana ilmu dan budaya berfikir kembali cemerlang dan mendapat tempatnya yang layak dalam era globalisasi, liberalisasi dan pascamodenisme sekarang ini, di samping tentunya, tanpa mengabaikan kemudahan kebendaan dan kesenangan hidup demi hasanah dunia dan hasanah akhirat.

Manusia akan menghadapi krisis tamadun atau pertembungan peradaban, seandainya tidak berpegang kepada keagamaan kerana ternyata gelombang baru peradaban manusia dalam konsep pascamodenismenya itu terang-terang menolak kehidupan yang berdasarkan kepada agama wahyu, apa lagi Islam.

About these ads

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 16,406 other followers

%d bloggers like this: