Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Arkib bagi Bulan Jun 2009

Sokong Raja Selamatkan Aqidah Anak Muallaf

Posted by epondok di Jun 30, 2009

Saya mengambil kesempatan ini mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Yang DiPertuan Agong dan Majlis Raja-Raja yang telah menitahkan supaya draf rang undang-undang berkaitan isu kemasukan ke dalam agama Islam. Tiga rang undang-undang yang dicadang untuk dipinda itu adalah
  1. 1. Akta Memperbaharui (Perkahwinan & Perceraian Sivil);
  2. 2. Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam;
  3. 3. Akta Keluarga Islam Wilayah Persekutuan.
Tujuan pindaan ini adalah untuk menangani masalah apabila seseorang bukan Islam daripada sesuatu perkahwinan bukan Islam memeluk agama Islam dan pasangannya tidak mahu menuruti memeluk Islam. Persoalan timbul tentang status perkahwinannya, kedudukan status agama dan hak penjagaan anak-anaknya, harta sepencarian semasa perkahwinan, dan jika mereka mati bagaimana harta pusaka mereka hendak dibahagikan.
Masalah ini timbul kerana Akta Memperbaharui (Perkahwinan & Perceraian Sivil) tidak memberi sebarang peruntukkan kepada mu’alaf tersebut untuk memfailkan petisyen untuk membubarkan perkahwinannya serta mendapatkan perintah-perintah sampingan yang berkaitan. Oleh itu mu’alaf tersebut tidak ada pilihan lain selain pergi ke Mahkamah Syariah untuk mendapatkan perintah sewajarnya. Bagi maksud itu, Mahkamah Syariah sememangnya mempunyai bidangkuasa menurut Seksyen 46 (2) Akta Keluarga Islam. Berdasarkan Artikel 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan, Mahkamah Sivil tidak mempunyai bidangkuasa didalam kes-kes yang mana Mahkamah Syariah mempunyai bidangkuasa.
Tetapi kemelut timbul apabila mereka yang bukan Islam tidak mahu dan enggan pergi ke Mahkamah Syariah. Ini adalah kerana timbul salah tanggapan bahawa jika mereka pergi ke Mahkamah Syariah saperti mereka memeluk Islam. Ini ditambah pula oleh propaganda pihak-pihak tertentu yang menakut-nakutkan golongan bukan Islam ini bahawa Mahkamah Syariah akan bertindak tidak adil dan memihak kepada orang Islam sahaja.
Sebenarnya ini adalah tanggapan yang salah kerana sekiranya mereka yang bukan Islam, terutamanya wanita tahu tentang keadilan dan kesaksamaan perundangan Islam, mereka akan berebut untuk memilih dibicarakan di Mahkamah Syariah.
Contohnya bagi wanita bukan Islam, suami mereka boleh juga menuntut nafkah jika mereka termasuk golongan tidak berupaya. Sedangkan didalam Islam wanita tidak boleh dibebankan dengan tanggunjawab nafkah. Kedua, wanita Islam akan dibayar pampasan perceraian dalam bentuk mut’ah. Ini membolehkan mereka mempunyai modal untuk meneruskan hidup selain menerima nafkah eddah. Sedangkan didalam undang-undang sivil tiada peruntukan sedemikian.
Di Mahkamah Syariah, mereka hampir pasti mendapat hak penjagaan anak-anak dibawah umur 9 tahun, sedangkan di Mahkamah Sivil belum tentu lagi. Di dalam perundangan Islam, jika bekas suami mereka tidak mampu membayar nafkah, bekas isteri boleh menuntut daripada keluarga bekas suami termasuk bapa, adik beradik dan lain-lain. Malahan jika tiada pihak, maka si isteri boleh menuntut dan Mahkamah Syariah boleh memerintahkan baitulmal untuk menanggung nafkah si isteri dan anak-anak. Sedangkan di Mahkamah Sivil, jika si suami tidak berkemampuan atau menghilangkan diri, si isteri tiada alternatif lain untuk mendapatkan nafkah.
Bagaimanapun, apa yang lebih penting dalam isu ini ialah mengapa kabinet mengambil pendekatan memindahkan bidangkuasa kes-kes saperti ini ke Mahkamah Sivil dengan memansuhkan bidangkuasa Mahkamah Syariah. Mengapa tidak di ambil pendekatan untuk memperkemaskan dan memartabatkan lagi institusi Mahkamah Syariah dalam kes-kes saperti ini. Persoalan pokok yang menjadi isu bagi umat Islam, apakah jenis undang-undang yang akan dilaksanakan oleh Mahkamah Sivil bila membicarakan isu yang membabitkan perundangan Islam. Bagaimana jika Hakim yang membicarakan kes itu datangnya daripada bukan Islam? Bagaimana beliau mahu menafsir perundangan Islam berdasarkan tafsiran mana?
Selanjutnya dari segi Perlembagaan, hal agama adalah didalam bidangkuasa negeri dimana Tuanku Raja-Raja adalah Ketua Agama dengan Yang Dipertuan Agong sebagai Ketua Agama Islam. Tidakkah pemindahan bidangkuasa ke Mahkamah Sivil ini secara tidak langsung memprejudis kuasa Raja-Raja?
Atas sebab itulah merupakan satu tindakan bijak bagi Yang DiPertuan Agong dan Majlis Raja-Raja menasihatkan kabinet supaya menangguhkan pembentangan dan perbahasan rang undang-undang tersebut. Semoga kita akan dapat menyelesaikan isu dengan bijak dan membawa kebaikan kepada semua pihak. Nasihat saya kepada kabinet, dapatkanlah dahulu pandangan semua pihak khususnya kalangan ulama’, para mufti dan lain-lain pakar perundangan Islam sebelujm mengambil tindakan selanjutnya.
Apa jua pun, saya mengucapkan tahniah kepada Yang DiPertuan Agong dan Majlis Raja-Raja yang betindak bijak dan tegas dalam mempertahankan kesucian dan martabat agama Islam dalam negara ini.
Wassalam.
YB Zulkifli Bin Noordin

Dikirim dalam Fokus Isu | Leave a Comment »

Tangguh bentang pindaan RUU Kekeluargaan Islam dialukan

Posted by epondok di Jun 30, 2009

Wan Nordin Wan Yaacob
Tue | Jun 30, 09 | 9:27:11 am MYT
KUALA LUMPUR, 30 Jun (Hrkh) – Keputusan Majlis Raja-raja Melayu supaya kerajaan menangguhkan pembentangan tiga Rang Undang-undang berkaitan kekeluargaan Islam adalah tepat dan dialukan.Demikian tegas Naib Ketua Pemuda PAS Pahang, Abdullah Abdul Karim kepada Harakahdaily hari ini bagi mengulas isu tersebut.Beliau merujuk kepada Persidangan (Khas) Majlis Raja-Raja Melayu Kali Ke 217 yang bersidang pada 29hb Jun 2009) di Istana Negara.

Di dalam persidangan ini, Majlis Raja-Raja Melayu telah memutuskan supaya cadangan kerajaan untuk membentangkan pindaan Rang Undang-Undang di Parlimen bagi meminda Akta Memperbaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976, Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam Wilayah Persekutuan 1993 dan Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984, ditangguhkan terlebih dahulu bagi mendapatkan terlebih dahulu pandangan Majlis Agama Islam Negeri-Negeri.

“Kami dengan ini mengalu-alukan keputusan tersebut atas pertimbangan bahawa sebarang pindaan undang-undang yang membabitkan isu-isu yang sensitif seperti soal implikasi dari penukaran agama, haruslah dibuat dengan cukup berhati-hati bagi mengelakkan berlakunya ketegangan dan salah faham,” ujarnya.

Hakikat ini boleh dilihat dengan jelas pada ketika kabinet membuat satu keputusan kontroversi pada bulan April yang lalu, katanya.

April lalu ujar Abdullah, kerajaan telah memutuskan bahawa seseorang anak yang masih belum dewasa adalah kekal di dalam agama kedua ibu bapanya (common religion) sewaktu di dalam perkhawinan, meskipun salah seorang dari kedua ibu bapanya telah memeluk agama yang lain.

Pada masa yang sama, DPPNP menuntut supaya kerajaan bukan sahaja mengambilkira pandangan dan cadangan dari Majlis Agama Islam Negeri, katanya.

Bahkan katanya semua pihak yang berkaitan seperti parti-parti politik, NGO-NGO, pakar-pakar perundangan sivil dan syariah dan badan-badan agama sebelum Rang Undang-Undang tersebut dibentangkan di Parlimen.

“Pemuda PAS berharap dan akan berusaha memastikan supaya pindaan yang dicadangkan tersebut bukan sahaja menghormati kedudukan dan kemuliaan agama Islam, tetapi pada masa yang sama turut member keadilan kepada penganut agama-agama yang lain,” katanya.

Semalam di Parlimen, dalam satu pertemuan dengan ahli Parlimen Machang, Saifuddin Nasution beliau telah mendedahkan isu keinginan kerajaan untuk membentangkan rang undang-undang tersebut dalam tempoh dua hari lagi bagi persidangan di Dewan Rakyat.

Saifuddin mendakwa, pindaan itu antara lain hanya akan menjejaskan fungsi Mahkamah Syariah, sebaliknya kuasa mahkamah tersebut akan dialih ke Mahkamah Sivil.

Paling dikhuatiri ujar Saifuddin, pindaan yang dibuat itu dalam tempoh yang sangat singkat sementara kertas pindaan masih belum diserahkan kepada ahli Parlimen untuk diperhalusi.

Pindaan ini (jika dibentang) hanya akan membangkitkan sensitiviti masyarakat Islam khususnya, kata Saifuddin.

Di peringkat Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), pihaknya akan bertemu dengan Majlis Peguam Malaysia bagi membincangkan isu ini, sementara PAS katanya akan berbincang dengan Peguam Islam mengenai isu yang sama. – wann/mks. _

Petikan : harakahdaily.net

Dikirim dalam Fokus Isu | Leave a Comment »

Majlis Raja-Raja tangguh pindaan peraturan tukar agama

Posted by epondok di Jun 30, 2009

Majlis Raja-Raja hari ini memutuskan supaya pandangan Majlis Agama Islam Negeri diperoleh terlebih dahulu berhubung cadangan pindaan undang-undang yang berkaitan penukaran agama dan pindaan kepada Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan).

Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, dalam satu kenyataan hari ini, menyatakan Majlis Raja-Raja membuat keputusan untuk menangguhkan cadangan pindaan itu pada satu mesyuarat khas hari ini.

Mesyuarat selama dua setengah jam di Istana Negara itu dipengerusikan oleh Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, lapor Bernama.

Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin, turut berangkat ke mesyuarat itu.

Menurut kenyataan itu, semua Raja hadir kecuali Sultan Pahang diwakili Pemangku Raja Tengku Abdullah; Sultan Kelantan diwakili Pemangku Raja Tengku Muhammad Faris Petra; Sultan Perak diwakili Pemangku Raja Perak, Raja Dr Nazrin Shah; dan Pemangku Raja Terengganu diwakili Yang Dipertua Majlis Penasihat Pemangku Raja Tengku Sri Panglima Raja Tengku Baderulzaman.

Pada 22 April lalu, Kabinet membuat keputusan bahawa anak-anak kekal menganut agama asal ibu bapa masing-masing semasa berkahwin, apabila ibu atau bapa mereka memeluk agama lain kemudian.

Kabinet berpendapat penukaran agama tidak boleh dijadikan alasan untuk membubarkan sesuatu perkahwinan secara automatik atau untuk mendapatkan hak penjagaan terhadap anak-anak.

Jemaah menteri juga bersetuju mana-mana individu yang ingin menukar agama, perlu menyelesaikan semua masalah berkaitan tanggungjawabnya terlebih dulu, bagi mengelak pihak yang tidak bersalah, terutama kanak-kanak, menjadi mangsa.

Taklimat dibatalkan

Berikutan keputusan Majlis Raja-Raja tersebut, satu majlis taklimat untuk ahli parlimen beragama Islam mengenai pindaan tersebut dibatalkan pada saat-saat akhir.

Taklimat tersebut dijadual diberikan oleh Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail pada jam 6 petang hari ini.

Mereka dijemput oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom yang menjaga halehwal agama Islam.

Tiada sebarang alasan rasmi diberikan berhubung pembatalan tersebut, tetapi menteri yang menjaga halehwal undang-undang, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, ia kerana ahli parlimen terbabit sibuk dengan jadual masing-masing.

Katanya, taklimat tersebut akan diadakan kemudian tetapi tidak mengulas lebih lanjut.

Pada 16 Jun lalu, Nazri memberitahu Dewan Rakyat bahawa pindaan tersebut sedang diperincikan oleh Pejabat Peguam Negara sebelum dibentangkan di Parlimen.

 

Petikan : Malaysiakini.com

Dikirim dalam Fokus Isu | Leave a Comment »

Jemputan ke Ihtifal An-Nuur kali ke 13

Posted by epondok di Jun 30, 2009

An-Nuur akan berihtifal kali yang ke 13 pada 11.Rejab.1430 bersamaan 4.July.2009 nanti.

Program akan diresmikan oleh Ustaz Rosli Abdul Jabbar YDP Pas Kawasan Kuantan merangkap Pengerusi Maahad Tahfiz Darul Fikri.

Agenda program seperti berikut;

9.30 pagi :

Perhimpunan Ibu/Bapa
Bacaan Al-Quraan oleh pelajar Akademi Tahfiz An-Nuur
Persembahan Nasyid oleh kumpulan Soutul Nuur.
Perasmian
Penyampaian Hadiah dan Penghargaan.

11.00 Pagi:

Jamuan
Pamiran An-Nuur & Aktiviti Ekonomi An-Nuur.
Rawatan Islam oleh persatuan Perubatan Darul Salam Gombak

9.30 Malam:

Persembahan Nashyid oleh Pelajar An-Nuur

Ceramah Umum oleh;
1. Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man ( Naib Presiden Pas)
2. YB Sdr Che Abdullah Mat Nawi ( Exco Kerajaan Kelantan
)

Menurut pengarah sambutan ,Ustaz Fadli Ibrahim, program kali ini diadakan selain daripada sebagai acara tahunan taqwim An-Nuur ia juga bertujuan mengumpul dana pembangunan Asrama Pelajar dan Bangunan pentadbiran dan kelas ANIS ( An-Nuur Islamic PreSchool).

Sahabat-sahabat, Muslimin dan Muslimat dijemput hadir ke Majlis ini. Mudah-mudahan segala sumbangan dan sokongan Tuan/Puan dimakbulkan oleh Allah.

Pengerusi Pentadbiran

Dikirim dalam Program Terbaru | Leave a Comment »

Lelaki ramai masuk neraka?

Posted by epondok di Jun 29, 2009

Ustaz Zainudin Hashim
Kalau dilihat secara renungan makrifat, terdapat satu hadis Nabi Muhammad s.a.w. yang menceritakan pengalaman baginda bertemu Allah SWT di Sidratul Muntaha malam Israk Mikraj, di mana Allah SWT telah memperlihatkan kepadanya keadaan wanita yang kebanyakan mereka dihumban dalam api neraka lantaran beberapa kesalahan semasa berada di dunia.Namun ia bukan bermakna bahawa orang lelaki terselamat daripada panas api neraka dan dimasukkan dalam syurga Allah yang penuh dengan pelbagai nikmat yang luar biasa, yang terkadang tidak tergambar oleh akal fikiran manusia semasa hidup di dunia.Justeru, apabila kita lihat beberapa istilah dalam al-Quran, menggambarkan kepada kita bahawa orang lelaki juga tidak kurang menjadi penghuni neraka. Ini berdasarkan keterangan al-Quran seperti istilah ‘Ashabun Nar’ (ahli neraka), al-Kafirun, al-Fasiqun, al-Munafiqun, az-Zolimun dan juga istilah yang disebut oleh baginda Rasulullah s.a.w. seperti golongan ‘dayus’, peminum arak dan anak-anak derhaka.Apa yang menarik perhatian dalam isu yang ingin dibangkitkan di sini ialah golongan dayus seperti yang ditegaskan dalam sebuah hadis baginda. Ramai daripada kalangan umat Islam hari ini tidak menyedari bahawa mereka boleh termasuk golongan yang dayus dan tempat golongan ini di akhirat tidak lain adalah neraka.

Mengapa neraka bagi golongan dayus? Golongan dayus ini sama ada seorang ayah yang membiarkan anak-anak gadis mereka keluar rumah tanpa mengenakan pakaian yang menutup aurat dengan sempurna begitu juga seorang suami yang membiarkan isterinya mendedahkan aurat seperti tidak memakai tudung kepala hingga di bawah perhiasan mereka.

Termasuklah membiarkan pembantu rumah di kalangan wanita asing yang dibiarkan tidak menutup aurat, maka suami tadi tidak berhak masuk syurga kerana membiarkan isteri dan pembantu rumahnya tidak menutup aurat seperti yang ditegaskan oleh al-Quran.

Peristiwa wanita ke neraka pada malam Mikraj

Sayidina Ali k.w. berkata: “Saya dengan Fatimah pergi menghadap Rasulullah s.a.w. Kami dapati beliau sedang menangis, lalu kami bertanya kepadanya, apakah yang menyebabkan ayahanda menangis, ya Rasulullah?”

Baginda s.a.w. menjawab: “Pada malam aku diisrak hingga ke langit, di sana aku melihat perempuan dalam keadaan amat dahsyat. Dengan sebab itu aku menangis mengenangkan azab yang diterima mereka.”

Ali bertanya: “Apakah yang ayahanda lihat di sana?” Rasulullah s.a.w. menjawab: “Aku lihat ada perempuan digantung rambutnya, otak kepalanya menggelegak. Aku lihat perempuan digantung lidahnya, tangannya diikat ke belakang dan timah cair dicurah ke dalam halkumnya (tekak).

“Aku lihat perempuan yang digantung kedua-dua kakinya terikat, tangannya diikat ke ubun-ubunnya, didatangkan ular dan kala. Aku lihat perempuan yang memakan dagingnya sendiri, di bawahnya dinyalakan api neraka. Aku lihat perempuan mukanya hitam dan memakan tali perutnya sendiri. “Aku lihat perempuan yang telinga pekak dan matanya buta, diisikan ke dalam peti yang diperbuat daripada api neraka, otaknya keluar daripada lubang hidung, badan bau busuk kerana penyakit kusta dan sopak.

“Aku lihat perempuan yang kepalanya seperti babi, badannya seperti himar dengan pelbagai kesengsaraan dihadapinya. Aku lihat perempuan yang rupanya seperti anjing, kala dan ular masuk ke kemaluannya, mulut dan pelepasnya (punggung). Malaikat memukulnya dengan corong api neraka.”

Fatimah pun bertanya kepada ayahandanya: “Ayahanda yang dikasihi, beritakanlah kepada anakanda, apakah kesalahan yang dilakukan oleh perempuan itu?”

Rasulullah s.a.w. menjawab: “Fatimah, adapun perempuan tergantung rambutnya itu adalah perempuan yang tidak menutup rambut daripada bukan muhrimnya. Perempuan tergantung lidahnya ialah perempuan yang menggunakan lidahnya untuk memaki dan menyakiti hati suaminya.

“Perempuan yang digantung susunya adalah perempuan yang menyusukan anak orang lain tanpa izin suaminya. Perempuan kedua-dua kakinya tergantung itu ialah perempuan yang keluar dari rumahnya tanpa izin suaminya.

“Perempuan tidak mahu mandi daripada suci haid dan nifas ialah perempuan yang memakan badannya sendiri, juga kerana ia berhias untuk lelaki bukan suaminya dan suka mengumpat orang.

“Perempuan yang memotong badannya sendiri dengan gunting api neraka kerana ia memperkenalkan dirinya kepada orang asing, bersolek dan berhias supaya kecantikannya dilihat lelaki lain.

“Perempuan diikat kedua kakinya dan tangannya ke atas ubun-ubunnya, disuakan ular dan kala kepadanya kerana ia boleh sembahyang tetapi tidak mengerjakannya dan tidak mandi janabah.

“Perempuan kepalanya seperti babi dan badannya seperti himar ialah ahli pengumpat dan pendusta. Perempuan rupanya seperti anjing ialah perempuan yang suka membuat fitnah dan membenci suaminya.

Seterusnya Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Perempuan menyakit hati suami dengan lidahnya pada hari kiamat nanti Allah jadikan lidahnya sepanjang 70 hasta kemudian diikat di belakang tengkoknya.”

Abu Bakar as-Sidik mengatakan, aku dengar Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Perempuan menggunakan lidah untuk menyakiti hati suaminya ia akan dilaknat dan kemurkaan Allah.”

Usamah bin Zaid menceritakan, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Aku berdiri di atas syurga, kebanyakan yang masuk ke dalamnya adalah golongan miskin dan orang kaya tertahan di luar pintu syurga kerana dihisab. Selain daripada itu ahli neraka diperintahkan masuk ke dalam neraka, dan aku berdiri di atas pintu neraka, aku lihat kebanyakan yang masuk ke dalam neraka adalah perempuan.”

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Aku lihat api neraka, tidak pernah aku melihatnya seperti hari ini, kerana ada pemandangan yang dahsyat di dalamnya aku saksikan kebanyakan ahli neraka adalah perempuan.”

Rasulullah s.a.w. ditanya, mengapa ya Rasulullah? Baginda s.a.w. menjawab: “Perempuan mengkufurkan suaminya dan mengkufurkan ihsannya, Jika engkau membuat baik kepadanya seberapa banyak pun dia belum berpuas hati dan cukup.” (Hadis riwayat Bukhari) – lanh _

Dikirim dalam Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Program Qafilah Ilmuan

Posted by epondok di Jun 29, 2009

Ikuti Siri Pengajian Tafaqquh Fiddin Secara Talaqqi Kitab (Sistem Pondok). Dimulakan dengan pengajian:

1. متن الأجرومية
2. متن البناء الأساس

3.  سفينة النجا فى علم الفقه  

 

 

Tempat di Masjid Kampung Laut, Nilam Puri, Kota Bharu

 

Tenaga Pengajar

Oleh guru-guru agama Pondok Pasir Tumboh iaitu Ustaz Sufian bin Hj Awang, Ustaz Nik Nizamudin bin Nik Yaakob dan Ustaz Fuad bin Wahab

 

Sesi dan waktu Pengajian

 

Setiap pagi Jumaat bermula jam 8.30 hingga 11.30 pagi dalam semester pengajian di KIAS.

 

Terbuka kepada sesiapa yang berminat.

 

 Anjuran: Bahagian Hal Ehwal Pelajar KIAS

 
 

 

Dikirim dalam Program Terbaru | Leave a Comment »

Desak Kerajaan Thailand Selesaikan Segera Isu Selatan Thai

Posted by epondok di Jun 28, 2009

Muhammad Arif Ismail
Sun | Jun 28, 09 | 7:57:41 am MYT
KUALA LUMPUR, 28 Jun (Hrkh) - Kerajaan Thailand didesak wujudkan badan bebas bagi menyiasat bukan sahaja peristiwa yang berlaku di Masjid al Furqan, Kampung Air Tempayang, malah di tempat lain kerana ia berkaitan dengan kepercayaan penduduk terhadap pihak berkuasa di negara itu.Perkara ini ditegaskan oleh Presiden Teras Pengupayaan Melayu (Teras), Mohd Azmi Abdul Hamid yang berpendirian bahawa Kerajaan Negara Gajah Putih itu mesti dengan segera mewujudkan satu badan secara bagi menyiasat tragedi ini dan sehingga sekarang masih belum ada jawatan bebas tersebut.”Yang ada hanyalah Polis yang membuat soalan-soalan kepada penduduk kampung tetapi tidak ada badan bebas yang berkredibiliti untuk mengembalikan kepercayaan kepada negara dan pihak berkuasa,” katanya dalam sidang media baru-baru ini.

Beliau menegaskan bahawa penduduk di Selatan Thai sudah hilang kepercayaan kepada pihak polis, kerajaan dan tentera.

Katanya, oleh itu, Teras dapati bahawa isu ini tidak boleh diselesaikan selagi polisi yang diamalkan oleh beberapa Perdana Menteri Thai iaitu dari Taksin hinggalah Abishit tidak berubah dengan meminggirkan penduduk di Selatan Thai dalam semua aspek.

“Polisi tetap sama, kawasan tersebut dijadikan satu kawasan medan politik untuk pihak tertentu menggunakan ketegangan di Wilayah itu bagi mendapatkan pengaruh di Thailand.

“Jadi kita kesal, adanya suatu konspirasi pihak atasan di negara itu yang menjadikan umat Islam sebagai mangsa kepada konflik dalaman kerajaan.

“Akhirnya, apa yang kita tuntut ialah undang-undang darurat yang telah dikuatkuasakan sejak 2005 mesti ditarik balik. Akta darurat tersebut memberi kebenaran kepada pihak tentera untuk menangkap sesiapa sahaja tanpa bicara.

“Kemudian pihak tentera juga boleh menyerbu kemana sahaja yang mereka hendak dan mendakawa sesiapa sahaja.

“Ini ada asasnya untuk rakyat di wilayah itu berasa selesa. kalau tidak rakyat akan melihat mereka akan sentiasa diawasi oleh pihak keselamatan,” jelasnya.

Teras juga menutut kerajaan Thai agar segera memberi perhatian terhadap keresahan ini bukan sahaja dari segi bantuan semata-mata.

“Apa yang dimahukan ialah hak mereka sudah dirampas sejak 200 tahun lalu iaitu pada tahun 1902 apabila Kesultanan Melayu Islam Patani dibatalkan oleh British dengan perjanjian Anglo Bangkok pada tahun itu.

“Sejak daripada itulah, umat Islam Selatan Thai hidup dalam penghinaan. Bahasa, identiti dan hak mereka untuk mendapatkan perlindungan dihapuskan,” tegas beliau.

Beliau yang lebih mesra dipanggil cikgu berkata, penduduk di Selatan Thai juga bahawa ini adalah satu kezaliman dan kebimbangan ini bukan berpunca dari soal pembangunan tetapi politik yang telah dicerobohi oleh Kerajaan Thailand.

Patani, menurutnya merupakan satu wilayah yang berdaulat dan mereka berhak menuntut. Soalnya, Kerajaan Thai hendak tunduk kepada tuntutan untuk memberikan kuasa autonomi adalah soa yang harus dibincangkan.

“Tetapi untuk mengatakan bahawa wilayah selatan Thai mesti tunduk kepada apa yang dikehendaki oleh Bangkok itu, kita rasakan tidak wajar sama sekali kerana fakta sejarah yang tidak dapat dinafikan bahawa Patani pernah menjadi satu wailayah yang berdaulat,” ujar beliau.

Sementara itu, beliau juga menegaskan bahawa Pertubuhan Negara-Negara Asia Tenggara (Asean) didesak agar serius menangani konflik yang berlaku di rantau ini.

Menurutnya, Asean perlu melihat isu ini dengan serius kerana sekarang kit adapati konflik diantara agama di rantau ini semakin memuncak dan bertambah parah.

“Tengok saja peristiwa yang berlaku di Mindanao, Selatan Thai dan di Myammar yang mana rakyat Rohingya yang beragama Islam turut ditindas dan akhirnya berlaku konflik di antara agama,” katanya.

Ini sangat serius, katanya, kalau Asean membiarkan isu ini berlarutan maka, rantau ini akan berhadapan dengan potensi untuk menjadi konflik antara agama yang sangat berat.

“Oleh kerana itu, kita desak Asean supaya mengadakan sidang tergempar untuk diadakan di peringkat tertinggi pertubuhan itu,” tegasnya. – mks._

Dikirim dalam Fokus Isu | Leave a Comment »

Penduduk Selatan Thai Perlukan Doa Kita

Posted by epondok di Jun 28, 2009

Muhammad Arif Ismail
Sun | Jun 28, 09 | 7:52:56 am MYT
KUALA LUMPUR, 28 Jun (Hrkh) - “Kami memohon kepada seluruh rakyat Malaysia agar dapat berdoa kepada tuhan supaya diberi ketabahan melalui hidup ini, ini yang kami mahukan.”Mereka tidak meminta bantuan dan kekayaan tetapi mengatakan nasib mereka perlu diberi perhatian daripada seluruh rakyat malaysia yang cintakan kedamaian,”demikian pengalaman yang diceritakan oleh Presiden Teras Pengupayaan Melayu (Teras), Mohd Azmi Abdul Hamid semasa menyertai rombongan ke tempat peristiwa berdarah di Masjid al Furqan di Cho Airong yang terletak 50 kilometer dari bandar Sungai Golok yang berlaku baru-baru ini.Seramai 11 orang jemaah masjid berkenaan telah dibunuh secara kejam oleh 6 lelaki yang bersenjatakan rafile dan tidak berpuas hati dan masuk ke dalam sebelum melepaskan beberapa das tembakan bagi memastikan semua jemaah terbabit benar-benar mati.

Menurutnya yang membuat lawatan ke tempat kejadian pada 14 Jun lalu, mereka memohon kepada rakyat Malaysia agar dapat berdoa supaya dapat melalui hidup ini dengan tabah.

Beliau berkata demikian dalam sidang media yang diadakan di Dewan Masjid Al Muhsinin, Taman Danau Desa, dekat di sini yang turut dihadiri oleh Presiden Sekretariat Himpunan Ulama Asia (Shura), Ust. Abdul Ghani Samsudin dan Timbalan Yang Dipertua Persatuan Ulama Malaysia, Dato’ Md. Saleh Ahmad.

Katanya, ketika menceritakan pengalaman beliau semasa menyertai rombongan yang dianggotai oleh 15 dari 11 badan bukan kerajaan (NGO) Malaysia, mereka diiringi oleh lebih kurang 30 anggota tentera dan polis serta ditemani oleh seorang Mejar Jeneral dari Bangkok.

“Mereka dihantar untuk mengiringi kami dengan kawalan keselamatan yang ketat dengan hampir 15 ‘check point’ dan dari Patani ke Narathiwat tempat kejadian terdapat lebih kurang 10 ‘check point’.

“Ini sangat ketat serta sangat sukar untuk orang biasa untuk pergi ke tempat kejadian itu.

“Mereka mengawasi setiap pertemuan kita dengan penduduk kampung, tetapi alhamdulilah semasa kami pergi ke kampung tersebut tiada masalah dari segi kami hendak meyatakan rasa simpati atas yang yang menimpa,” katanya.

Sambung beliau, kami juga menyampaikan derma sebanyak RM 30,000 hasil daripada kutipan derma rakyat Malaysia dan pihak berkuasa juga menyaksikan ketika kami menyampaikan derma tersebut kepada penduduk yang terlibat dalam pembunuhan kejam itu.

Suasana di sana katanya, sangat memilukan setelah mengadakan pertemuan dengan semua balu-balu kerana suami mereka semuanya berumur dalam lingkungan umur yang paling muda sekitar 33 tahun dan yang tua pula berumur dalam lingkungan 60 dan 70 tahun.

“Kami juga melihat sendiri keadaan masjid itu di mana peluru yang digunakan dengan begitu banyak dan kesannya dapat dilihat pada dinding masjid.

“Sama sekali kita merasa sangat-sangat sedih terhadap suasana masjid al Furqan itu yang dikelilingi oleh suasana kampung yang sangat damai tetapi mereka berhadapan dengan kejutan itu,” katanya.

Namun katanya, mereka tabah menghadapi semua ini, masih lagi nampak kuat. Tetapi para balu itu mengatakan ini merupakan satu trauma yang sama sekali tidak akan hilang dalam hiudp mereka.

“Mereka juga memikirkan bagaimana hendak mengatasi kehidupan dengan menyara anak-anak yang menjadi yatim akibat peristiwa ini yang kami hitung lebih kurang seramai 22 orang,” ujar beliau. – mks._

Dikirim dalam Fokus Isu | Leave a Comment »

Tuan Guru Hj Ahmad Sedawa Kembali Ke Rahmatullah

Posted by epondok di Jun 27, 2009

Selang beberapa minggu sahaja selepas kehilangan ulama’ Melayu terkenal di Mekah iaitu al-Marhum Hj Husin Surat maka dunia kehilangan seorang lagi ulama’ yang banyak berjasa iaitu Tuan Guru Hj Ahmad Sedawa yang berasal dari Kampung Sedawa, Fathoni, Thailand. Beliau telah berhijrah dari tanahair tercinta untuk menimba ilmu seterusnya menabur jasa di bumi berkat Mekah selama 60 tahun. Al-Marhum meninggal pada malam Jumaat yang lalu dan dikebumikan keesokan harinya. Kehilangan beliau ibarat terpadam suatu lagi cahaya di bumi fana ini. Para bekas pelajar dan kawan-kawan yang mengenali beliau di seluruh negara telah mengadakan solat ghaib bagi jenazah beliau. Semoga Allah meletakkan beliau dengan ruh para syuhada’ dan solehin… al-Fatihah

Dikirim dalam Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Pengenalan Pondok Lepan Bola

Posted by epondok di Jun 27, 2009

Alamat
 

Madrasah Darul Muttaqin,

Pondok Lepan Bola, Lawang, Batu Gajah,
17510 Tanah Merah, Kelantan
Mudir : Ustaz Tuan Mahmud bin Tuan Yusuf  ( 013-9225461)
Timbalan Mudir : Ustaz Nuh bin Sulaiman (013-9817321)

 

 
Sejarah Penubuhan
 

 

 Menyedari bahawa pendidikan dan tarbiah adalah gabungan antara ilmu, amal, iman dan penghayatan yang ikhlas, suatu daya usaha yang berterusan digerak dan digarapkan dengan dokongan mereka yang prihatin, bertanggungjawab dan menghayati roh jihad serta komited yang jitu dari segenap lapisan masyarakat maka Pondok Lepan Bola telah ditubuhkan pada tahun 1997 oleh  Ustaz Hj Tuan Mahmud bin Tuan Soh dengan didokong oleh beberapa orang pembantu yang mencurahkan seluruh daya, usaha, keringat idea dan pengorbanan yang mana bukan sedikit mehnah dan tribulasi yang terpaksa dilalui bukan sekali dua cabaran yang terpaksa diatasi dan bukan mudah denai beranjau yang terpaksa direntas

Dengan tertubuhnya Pondok Lepan Bola maka suatu medan yang subur sebagai pusat penyebaran ilmu dan penghayatan amal yang ikhlas dapat dilihat tersergam gagah dan menambahkan lagi kemeriahan pusat pengajian agama di daerah ini 

 

Objektif Penubuhan

 

  1. Melahirkan pelajar yang cemerlang dalam akademik dan syakhsiyyah
  2. Melahirkan pelajar yang mampu menjadi pemimpin
  3. Melahirkan pelajar yang mampu menguasai kitab turath
  4. Melahirkan pelajar muslim yang berwibawa dari segi akhlak, syakhsiyyah, keterampilan
  5. Melahirkan masyarakat yang prihatin dalam memahami Islam sebagai ad-Din yang syumul
  6. Melahirkan intelektual yang mempunyai ilmu yang boleh menangani permasalahan semasa masyarakat dalam segenap bidang kehidupan
  7. Membentuk dan melahirkan golongan mukmin yang patuh kepada system hidup Islam dan peraturan masyarakat yang tidak bercanggah dengan al-Quran dan as-Sunnah
  8. Melahirkan muslim yang celik al-Quran dan dapat menghayatinya dalam segenap bidang kehidupan

 

Lokasi

 

 

 

Pondok Lepan Bola terletak di Kg Lawang, Tanah Merah, Kelantan kira-kira 15 km dari Pusat Bandar Tanah di atas tanah yang asalnya bekas rizab haiwan yang dianugerahkan oleh Kerajaan Negeri Kelantan

 

 

Dikirim dalam Pondok Ahli PPPB, Pondok Lepan Bola, Pondok Malaysia | 2 Komen »

 
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 146 other followers